Monday, May 24, 2010

Ke Arah Kesempurnaan Hidup Beragama


Setiap Makhluk Diciptakan Berpasang-pasangan

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa yang mereka tidak ketahui”. Yaasin: 36

Sudah menjadi sunnatullah, setiap makhluk diciptakan mempunyai pasangan. Begitu juga manusia. Telah diciptakan Hawa untuk menjadi pasangan bagi Adam a.s. Daripada pasangan inilah, manusia berkembang biak sehingga sekarang. Firman Allah swt: Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu daripada isteri-isteri kamu itu anak-pinak dan cucu-cicit dan memberi kamu rezeki daripada yang baik-baik..” (An-Nahl: 72)

Fitrah manusia tidak boleh hidup bersendirian. Setiap manusia normal memerlukan teman. Teman untuk berbicara. Teman untuk makan. Teman untuk berkerja dan boleh dikatakan hampir semua rutin harian yang dilakukan memerlukan kepada teman.

Sunnah para rasul

Berkahwin adalah antara keperluan paling asas hampir semua insan di dunia ini. Bahkan menjadi sunnah para rasul utusan Allah swt. Rasulullah saw bersabda: Barang siapa yang tidak menyukai sunnahku, ia bukanlah dari golonganku. Sebahagian dari sunnahku adalah berkahwin, oleh kerana itu siapa yang mengasihiku hendaklah ia melaksnakan sunnahku”.

Fitrah kejadian manusia adalah melalui perkahwinan. Kahwin menurut Islam bermaksud perjanjian antara dua insan yang berlainan jantina (lelaki dan perempuan) untuk berkongsi hidup. Bermakna, hanya selepas pasangan ini dinikahkan secara rasmi sahaja barulah agama mengiktiraf kebebasan pasangan ini untuk berkasih sayang dan bercinta mesra.

Matlamat Perkahwinan Muslim

Perkahwinan itu dipandang mulia dan sangat dianjurkkan oleh syariat Islam bagi mengelakkan keruntuhan akhlak dan tatasusila di samping menjaga keturunan. Ia bertujuan untuk keharmonian sejagat, khususnya bagi umat Islam. Perkahwinan membawa kepada ketinggian akhlak serta kebersihan rohani dan jasmani. Melaluinya, zuriat akan berkembang biak dan ini adalah sebahagian daripada kebangaan Rasulullah SAW. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Berkahwinlah kamu agar dapat melahirkan keturunan. Sesungguhnya saya akan berbangga pada hari kiamat jika kamu menjadi umat yang teramai (daripada umat-umat lain)”.

Namun, matlamat perkahwinan yang paling utama ialah untuk melahirkan zuriat yang soleh dan solehah yang taat kepada segala perintah Allah swt dan meninggalkan segala laranganNya. Zuriat yang akan mendoakan kesejahteraan hidup kedua ibu bapa sama ada semasa hayat mereka mahupun selepas keduanya meninggal dunia. Rasulullah saw bersabda: “Apabila seseorang manusia telah meninggal dunia, putuslah semua amalnya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa untuknya”.

Ke Arah Kesempurnaan Beragama
Dengan perkahwinan juga akan mampu menjaga agama. Bahkan perkahwinan itu merupakan sebahagian daripada agama. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya: “Apabila seseorang hamba telah berkahwin, ia telah melengkapkan separuh agamanya, dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah untuk memenuhi kekosongan sebahagian lagi”. (H.R.Al-Baihaqi)

Bahkan, perkahwinan juga mampu membawa kepada khusyuk dalam melaksanakan ibadat kepada Allah SWT. Khusuk dalam erti kata, ibadat yang disukai dan diterima oleh Allah SWT. Dua rakaat yang dilakukan oleh orang berkeluarga lebih afdal daripada tujuh pulu rakaat orang yang hidup membujang”. (Dikemukakan oleh Ibnu Ady dari Abu Hurairah termaktub dalam kitab Al_kamil) (Tuhfatul Aris Wal 'Arusy, 67).
Wassalam...

"Sahabat-sahabat, kaum keluarga dan semua kenalan dijemput hadir ke Majlis Walimahtul Urus kami: Nurlaila Darwis dan Safaruddin Lakalla pada 22 Jamadil Akhir 1431H bersamaa 5 Jun 2010M di alamat Lot No. 227, Kg. Tanjung Batu Keramat, Tawau, Sabah. Semoga kehadiran kalian akan membawa 1001 rahmat kepada kami. InsyaAllah..Mohon doa kalian..

0 comments:

 

©2009 NUR ILAHI | by TNB